JUMAAT, 26 NOVEMBER – Malaysia menolak untuk memberikan visa kepada pemain Israel yang mahu menyertai kejohanan skuasy utama bulan depan, kata badan pengurusan sukan negara.
Tindakan tersebut adalah satu lagi keputusan tegas negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel bagi menghalang atlet dari negara itu masuk ke Malaysia.
Memetik laporan Malaysia Now, Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia bagi lelaki itu dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 hingga 12 Disember dengan, dengan 26 regu bakal mengambil bahagian.
Sementara itu, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) berkata mereka dimaklumkan bahawa pihak berkuasa Malaysia masih belum memberikan visa bagi pasukan skuasy Israel.
Bagaimanapun, badan induk itu berkata, WSF komited dengan prinsip kejohanan dunia yang terbuka dan inklusif di mana semua negara anggota yang ingin mengambil bahagian dialu-alukan untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, Persatuan Skuasy Israel (ISA) merancang mengheret Persekutuan Skuasy Sedunia (WSF) ke mahkamah timbang tara sukan jika pemainnya diharamkan menyertai kejohanan besar di Malaysia.
Pengerusi ISA Aviv Bushinsky menyifatkan keputusan Malaysia menolak visa atlet Israel sebagai diskriminasi.
Sebelum ini, Malaysia turut tidak membenarkan atlet dari Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.