JUMAAT, 26 NOVEMBER – Kerajaan telah melaksanakan banyak inisiatif dan program melalui Pelan Tindakan Pembaharuan Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kawalan keselamatan dalam negara.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bagi tahun 2022 KDN komited untuk terus menambah baik dasar dan perundangan sedia ada membabitkan industri perkhidmatan kawalan keselamatan.
Hamzah berkata, KDN akan memperlihatkan penguatkuasaan dan operasi serta melaksanakan beberapa inisiatif khususnya membabitkan perkhidmatan kawalan keselamatan swasta dalam negara.
Ujar beliau antara perkara yang akan dilaksanakan adalah menambah baik electronic industry management system (esims) bagi memudahkan permohonan semakan biometrik pengawal keselamatan tempatan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan agensi persendirian di ibu negara hari ini.