KHAMIS, 25 NOVEMBER – Produk makanan kek bulan keluaran sebuah syarikat yang beroperasi di Sabah adalah tidak halal.
Perkara itu disahkan Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ramlan Awang Ali apabila dikesan terdapat DNA khinzir yang dikenal pasti di dalam makanan berkenaan.
“Keputusan ujian makmal daripada Jabatan Kimia Malaysia bertarikh 1 November menemukan DNA khinzir pada sampel kuih bulan keluaran syarikat berkenaan dan sijil halal mereka telah tamat tempoh.”
– Ramlan Awang Ali, Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)
Beliau berkata keputusan ujian makmal daripada Jabatan Kimia Malaysia bertarikh 1 November menemukan DNA khinzir pada sampel kuih bulan keluaran syarikat berkenaan.
Dalam pada itu, MUIS mendapati bahawa sijil halal syarikat itu telah tamat tempoh pada 15 Mei dan syarikat itu mengakui kesalahan yang berlaku.
Mengulas lanjut Ramlan berkata, MUIS telah mengambil tindakan dengan membekukan akuan permohonan pembaharuan syarikat ini dalam sistem MyeHalal dan menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM)
syarikat ini sekaligus dilarang sama sekali menggunakan SPHM dan logo Halal Malaysia untuk sebarang tujuan perniagaan, publisiti atau lain-lain di dalam atau di luar premis atas nama syarikat berkenaan.