KHAMIS, 25 NOVEMBER – Sebanyak 34 ladang khinzir ditutup di Ipoh, Perak kerana tidak memenuhi syarat pelesenan sejak penguatkuasaan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992 dan Kaedah-Kaedah Pengawalan Penternakan Babi 2009.
Menurut Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, sejak enakmen itu dikuatkuasakan pada 1 Januari 2010, sebanyak 131 lesen penternakan khinzir telah dikeluarkan pada tahun sama.
Mengulas penyelesaian isu pembuangan air najis khinzir dan pelepasan air lebihan dari kawasan ladang, Mohd Akmal berkata :
“… Jabatan Perkhidmatan Veterinar bertindak sejajar dengan peruntukan enakmen itu bagi memastikan kelestarian alam sekitar terutama dalam pengawalan pencemaran sungai yang sering berlaku.”
Tambahnya, ladang berdekatan sungai disaran mengguna pakai konsep sistem sifar pelepasan iaitu merawat air kumbahan menggunakan bahan kimia dan digunakan semula sebagai air membasuh kandang.