RABU, 24 NOVEMBER – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, bahawa pelajar sekolah vernakular di Malaysia berdepan peluang pekerjaan yang terhad kerana didakwa kurang penguasaan dalam Bahasa Malaysia.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam hujahnya berkata ini akan menyebabkan pelajar-pelajar ini dinafikan hak untuk hidup bermaruah, justeru sekolah vernakular di Malaysia mesti diwajibkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.
Peguam Mohamed Haniff mewakili tiga plaintif iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).
Tiga plaintif berkenaan memohon perintah mahkamah agar sekolah vernakular menghentikan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
“Akibatnya, ia akan menyebabkan golongan belia Malaysia (yang bersekolah di sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar dalam pelbagai mata pelajaran) tidak memiliki penguasaan yang baik dalam Bahasa Malaysia. Ini akan mengehadkan peluang pekerjaan mereka, terutamanya dalam perkhidmatan awam. Hak asasi mereka di bawah Perkara 5 akan terancam.’’ – Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Dalam prosiding di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini, Haniff berhujah bahawa keadaan ini akan melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk hidup dengan bermaruah dan hak- hak lain.
Perlembagaan Persekutuan menyentuh mengenai kebebasan diri dalam Perkara 5, Kesamarataan (Perkara 8); kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan (Perkara 10); kebebasan beragama (Perkara 11) dan hak dalam pendidikan (Perkara 12).
Hujahnya, ia akan menyebabkan golongan belia Malaysia (yang bersekolah di sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar dalam pelbagai mata pelajaran) tidak memiliki penguasaan yang baik dalam Bahasa Malaysia.
Ini akan mengehadkan peluang pekerjaan mereka, terutamanya dalam perkhidmatan awam. Hak asasi mereka di bawah Perkara 5 akan terancam.
“Disebabkan penguasaan bahasa kebangsaan yang terhad ini, ia akan menafikan hak mereka untuk hidup dengan bermaruah (seperti Perkara 5)”. Hanif kemudian merujuk afidavit Prof Dr Teo Kok Seong berhubung dakwaan penguasaan Bahasa Malaysia pelajar sekolah vernakular yang lebih lemah.
Menurut afidavit itu, Teo berhujah bahawa masalah itu membimbangkan kerana pelajar-pelajar ini didakwa kurang penguasaan Bahasa Malaysia menyebabkan mereka dikatakan menghadapi prejudis ketika mencari pekerjaan di sektor swasta dan awam, serta kesukaran melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Bagaimanapun, peguam Gopal Sri Ram, yang mewakili Majlis Bahasa Cina Malaysia, berhujah bahawa mahkamah sepatutnya menolak keseluruhan tindakan undang-undang itu kerana ketiga-tiga plaintif gagal menunjukkan secara spesifik kerugian yang mereka alami berikutan dasar kerajaan semasa mengenai sekolah vernakular.
“Kertas kausa plaintif hanya menunjukkan mereka berhujah melanggar peruntukan perlembagaan sambil tidak menyatakan secara spesifik kesan yang dihadapi mereka. Mereka mesti menentukan bagaimana mereka semua terkesan selain daripada isu sentimentaliti. ” – Peguam Gopal Sri Ram
Bekas hakim mahkamah persekutuan itu berhujah bahawa kertas kausa plaintif hanya menunjukkan mereka berhujah melanggar peruntukan perlembagaan sambil tidak menyatakan secara spesifik kesan yang dihadapi mereka.
Hujah beliau mereka mesti menentukan bagaimana mereka semua terkesan selain daripada isu sentimentaliti. Sri Ram menambah plaintif tidak menunjukkan mereka mempunyai locus standi (hak undang-undang untuk memfailkan tindakan undang-undang).
Sri Ram seterusnya berhujah bahawa isu sekolah vernakular adalah dasar legislatif (perundangan) dan tidak sesuai ditentukan oleh badan kehakiman sebaliknya kata beliau isu itu hanya wajar ditentukan oleh Parlimen berbanding dibawa ke mahkamah.
Perbicaraan bersambung esok.