RABU, 24 NOVEMBER – Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Pangsapuri Desa Lembah Permai dan PPS Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kampung Pandan Indah yang menempatkan mangsa banjir di Hulu Langat masih beroperasi setakat Rabu.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad berkata, walaupun air sudah surut mangsa masih ditempatkan di PPS berkenaan disebabkan kebanyakan rumah terlibat dalam operasi pembersihan.
Kebanyakan mangsa memerlukan masa mengemas dan mencuci lumpur yang tempohnya tidak dapat disiapkan dalam masa sehari. Jelas Dr Ani, Alat seperti water jet diperlukan untuk membersihkan lumpur selain menggantikan perkakasan rumah yang rosak.
Dalam kejadian pada malam Isnin lalu, 162 keluarga terkesan insiden banjir kilat susulan hujan lebat melanda Lembah Klang.
Ani berkata, operasi pembersihan dibantu oleh pihak sukarelawan dan Skuad Pantas dari pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor serta pasukan bomba.