ISNIN, 23 NOVEMBER – Tindakan DAP dan peguam-peguamnya mengheret isu pengharaman judi ke mahkamah dilihat bukan isu kecil.
Mengulas perkara itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata;
“… tindakan itu boleh memberi implikasi sehingga ke tahap semua kerajaan negeri tiada kuasa mengekang judi di negeri masing-masing.”
“Apa yang diusahakan mereka di mahkamah ini bukan perkara kecil sekadar ‘Penjudi vs Menteri Besar Kedah’ tetapi jauh lebih besar dari itu,”
Aminuddin berkata, kerajaan negeri Kedah harus diberikan sokongan solidariti oleh rakyat yang mahu melihat Malaysia sejahtera dari gejala tidak sihat ini.
Beliau berkata, bukan sahaja orang Melayu di negara ini yang menyokong judi disekat dan dikawal kerana Islam mengharamkannya, namun ia merupakan isu sejagat.
Kerana ‘Sudah Terang Lagi Bersuluh’, memang terbukti bahawa perjudian merosakkan masyarakat dan institusi kekeluargaan dari pelbagai sudut.
Justeru ujarnya, negeri-negeri lain juga mampu mengambil langkah sebegini demi kesejahteraan rakyat melangkaui kepentingan para pemilik syarikat judi yang tidak patut dilayan.