SELASA, 23 NOVEMBER – Hujan lebat hampir 3 jam di sekitar Lembah Klang sejak lewat petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Ampang iaitu Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan, dilanda banjir kilat.
Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 petang, menggerakkan dua jentera FRT bersama 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata hujan lebat berterusan menyebabkan tiga kawasan itu dilimpahi banjir kilat setinggi antara 0.3 meter hingga 1.5 meter.
Banjir kilat turut menyebabkan 3 penduduk terperangkap dalam kediaman yang dinaiki air dan anggota kita menjalankan operasi mengeluarkan semua mangsa ke tempat selamat.
Jelas Norazam lagi, pada masa ini, keadaan air semakin surut dan pemantauan akan terus dijalankan di lokasi secara berterusan.
Sementara itu, katanya dua keluarga terdiri 3 dewasa dan 8 kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia setahun dilaporkan terperangkap di seberang sungai akibat kepala air ketika berkelah di Air Terjun Sungai Pinang, Jalan Batang Kali petang semalam.