SELASA, 23 NOVEMBER – Parti DAP melalui penama Liew Han Eng dan 3 lagi penama telah bertindak mencabar tindakan oleh Negeri Kedah yang enggan memperbaharui lesen perjudian melalui tindakan Mahkamah.
DAP menyifatkan tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai tidak munasabah dan boleh dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.
Memetik laporan Samudera, Ramkarpal Singh ahli DAP yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang telah membantu dalam memfailkan kes tersebut.
Ujar beliau, Plaintif akan mencabar atas alasan, antaranya, bahawa keputusan Negeri Kedah untuk tidak memperbaharui lesen perjudian;
“… adalah sesuatu yang melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan kerana kuasa untuk mengeluarkan lesen adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Parlimen.”
Selain daripada itu, pihak Plaintif juga akan mencabar kemunasabahan tindakan Menteri Besar Kedah tersebut melalui proses semakan kehakiman yang bakal dijalankan.
Dalam sebuah sidang media baru-baru ini Menteri Kedah, Datuk Seri Sanusi Mad Nor menegaskan bahawa beliau mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin mencabar keputusan beliau di mahkamah.
Sanusi, pada 17 hari bulan lalu menyifatkan tindakan beliau untuk menghapuskan kegiatan judi di Kedah sebagai sebuah tindakan untuk memelihara keharmonian sejagat.