SELASA, 23 NOVEMBER – Mahkamah Rayuan menetapkan pada 8 Disember ini untuk memberikan keputusan dalam rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Tarikh itu dikeluarkan melalui kenyataan media oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.
Keputusan itu akan diberikan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Pada Julai tahun lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap 7 tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.