ISNIN, 22 NOVEMBER – Pengerusi Umno Melaka Abdul Rauf Yusoh menafikan khabar angin bahawa terdapat tentangan terhadap pelantikan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri.
Rauf berkata, kesemua ketua-ketua bahagian parti itu di Melaka sebulat suara menyokong penuh pelantikan itu.
”Kesemua kami (ketua-ketua bahagian), termasuklah saya selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno akan berikan sokongan penuh kepada kepimpinan Sulaiman sebagai ketua menteri Melaka,”
Beliau juga menegaskan lantikan Sulaiman menunjukkan kepercayaan rakyat Melaka dengan kerjasama semua ketua bahagian UMNO sebagai persediaan menghadapi PRU-15.
Dalam pada itu, Ab Rauf menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu sama ada mahu menggunakan model parti itu pada PRU-15 sehingga membawa kejayaan besar dalam PRN Melaka.
Katanya, penampilan 86 % muka baru dalam PRN kali ini terbukti membuahkan hasil apabila rakyat dan pucuk pimpinan BN dapat menerima formula itu dan diterjemahkan melalui keputusan PRN Sabtu lalu.
Sulaiman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri awal pagi semalam selepas BN berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN.