ISNIN, 22 NOVEMBER – Penggunaan platform media sosial yang menjadi alternatif utama bagi kebanyakan parti yang bertanding dalam PRN Melaka dilihat sangat bersesuai memandangkan negara akan berada dalam pandemik untuk satu tempoh yang panjang.
Bagaimanapun menurut Penganalisis Politik, Profesor Madya Doktor Kartini Aboo Talib@Khalid:
“…strategi kempen menerusi platform digital perlu diperhalusi dan diperkemaskan supaya setiap calon yang bertanding dapat memperkenalkan diri kepada pengundi dengan lebih jelas.”
“…kalau kita lihat kesetaraan hak media kepada semua calon parti menggunakan saluran media perdana kita boleh memperkenalkan manifesto…kalau boleh diperbaiki lagi dari segi kempen media digital ini ialah memberi ruang membenarkan mereka berdebat menggunakan saluran media sosial atau alternatif menceritakan aspirasi dan manifesto supaya ianya lebih dekat dengan pengundi…”
Tambah Doktor Kartini semua calon yang bertanding perlu lebih kreatif menggunakan platform media sosial seperti facebook, twitter, tiktok dan sebagainya untuk menyampaikan manifesto masing-masing.
Ujar beliau, berkempen melalui media sosial ini sangat mencabar memandangkan tidak semua individu mempunyai akaun media sosial terutama golongan tua.
Justeru, beliau tidak menolak faktor kemenangan besar Barisan Nasional BN adalah disebabkan pengundi yang terdiri daripada golongan tua.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TV Pertiwi.