ISNIN, 22 NOVEMBER – Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang atau DAP perlu menimbang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) jika beliau enggan berundur.
Ahli Dewan Undangan Negeri DAP – Bilut, Lee Chin Chen menggesa supaya PH mencari pengganti baharu dan bukan bergantung semata-mata kepada Anwar yang dilihatnya gagal dalam memimpin blok pembangkang itu dengan baik selepas kekalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu. Sekiranya tiada harapan untuk PH reset semula, kepimpinan DAP mesti mempertimbangkan untuk keluar daripada gabungan itu dan mencari kerjasama lain bagi memastikan negara mempunyai parti pembangkang yang setia mempertahankan kepelbagaian dan politik sekularisme.’’
Memetik malaysiakini, Kata Chen, beliau berharap Anwar akan melepaskan baton kepimpinan, berada di belakang kepimpinan dan membantu pengganti generasi baru mencapai tahap yang baru. Justeru itu Chen menyeru Anwar berundur sebagai Ketua Pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baru.
Jika Anwar masih tidak mahu meletak jawatan, Chin Chen berkata sudah tiba masanya DAP keluar daripada gabungan tersebut dan mencari bentuk kerjasama dengan gabungan yang lain.
Tambahnya keputusan PRN Melaka adalah tamparan kepada PH Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) menang besar dengan 21 kerusi, dan memperoleh majoriti 2/3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). PH hanya berjaya memenangi 5 kerusi ditandinginya.