JUMAAT, 19 NOVEMBER – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mendakwa pengasas gereja Filipina kerana terbabit dalam kes pemerdagangan gadis dan wanita muda dengan memaksa mereka untuk melakukan hubungan seks dengannya.
Dalam pertuduhan itu, pengasas gereja itu juga dituduh mengumpulkan wang tunai untuk badan amal palsu yang berpangkalan di California, digunakan bagi merekrut mangsa yang dibawa dari Filipina ke AS untuk bekerja di sebuah gereja dinamakan Kingdom of Jesus Christ, The Name Above Every Name (KOJC).
Ada di antara mangsa dikatakan ditugaskan untuk mengumpul wang untuk membantu membiayai gaya hidup mewah pengasas gereja yang dikenali sebagai Apollo Carreon Quiboloy, rakan sekutu Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Lelaki 71 tahun itu, yang dirujuk oleh ahli gereja sebagai ‘Anak Tuhan yang Dilantik’ bersama 2 defendan yang lain kini didakwa dalam kes pemerdagangan seks wanita berumur 12 hingga 25 tahun untuk bekerja sebagai pembantu peribadi, atau ‘pastoral’, untuk Quiboloy.
“Mangsa menyediakan makanan Quiboloy, membersihkan kediamannya, mengurutnya dan dikehendaki melakukan hubungan seks dengan Quiboloy, apa dipanggil oleh pastoral sebagai ‘tugas malam,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan akhbar.
Quiboloy dan pentadbir KOJC yang lain memaksa pastoral untuk melaksanakan ‘tugas malam’ – iaitu melakukan seks dengan Quiboloy dan jika enggan akan diancam dicedera dan diseksa mental dan fizikal.
Kertas pertuduhan itu menyatakan skim pemerdagangan seks dipercayai sudah berlaku sekurang-kurangnya sejak 16 tahun sehingga 2018.
Mangsa yang patuh akan diberi ganjaran ‘makanan yang enak, bilik hotel mewah, perjalanan ke tempat pelancongan, dan bayaran tunai tahunan berdasarkan prestasi’ menggunakan wang yang diperoleh KOJC daripada AS.
Pertuduhan terbaharu itu menjadikan keseluruhan sembilan kes membabitkan gereja itu. 3 sudah ditangkap di AS semalam.
Jabatan Kehakiman berkata, Quiboloy mempunyai kediaman besar di Hawaii, Las Vegas, dan pinggir bandar Los Angeles, dan kini dia dipercayai berada di Davao City, Filipina, bersama dua orang lain yang dinamakan dalam pertuduhan itu.
Menurut laman web gereja itu, mereka berjaya mengumpul 6 juta pengikut di 200 negara sejak ia diasaskan oleh Quiboloy pada 1985.
Pada Oktober lalu, Quiboloy dalam Facebooknya menyiarkan makan malam bersama Duterte dalam majlis makan malam dengan rakan Presiden itu.
Jurucakap Presiden Duterte , Karlo Nograles enggan mengulas mengenai ‘hubungan peribadi’ Duterte dengan Quiboloy.
Nograles berkata, beliau tidak mengetahui sama ada AS telah memfailkan permintaan untuk ekstradisi Quiboloy, tetapi Filipina akan memberikan kerjasama menentang kemungkaran.
Setiausaha untuk peguam Quiboloy, Dinah Tolentino-Fuentes, di Filipina memberitahu AFP satu ‘mesyuarat tergempar’ sedang berlangsung namun enggan mengulas mengenai kes itu. – AFP
-Berita Harian