JUMAAT, 19 NOVEMBER – Kos menunaikan ibadah haji tahun hadapan akan dimuktamadkan selepas dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad berkata, pihak Tabung Haji yang baru kembali dari Arab Saudi akan memberi taklimat kepadanya berkaitan kos mengerjakan haji dalam masa terdekat.
Beliau berkata, naik atau tidak kos menunaikan haji, perlu menunggu keputusan yang akan diputuskan oleh Kabinet,
Sebelum ini, Idris berkata, kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat berikutan perkembangan terkini berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan ketat yang dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji.
Tabung Haji sedang menyemak dengan terperinci kos yang terkesan akibat kadar inflasi serta peraturan dan cukai baharu di Arab Saudi termasuk caj visa haji yang diperkenalkan pada musim haji.
Ketika ini, bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji negara adalah RM9,980 dan tidak pernah berubah sejak 2009, manakala baki RM12,920 ditanggung Tabung Haji.