JUMAAT, 19 NOVEMBER 2021 : Tindakan seorang anggota polis menunggang motosikal tanpa cermin sisi dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi mengundang padah apabila dia dikenakan saman bagi kesalahan itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya mendapati terdapat satu video menerusi aplikasi Tik Tok dimuat naik dalam akaun @haikaliskandr berkaitan seorang anggota ronda Balai Polis Ampang menunggang motosikal tanpa cermin sisi serta menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi pada 5.30 petang, semalam.
“Susulan itu, kami mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap anggota terbabit dengan mengeluarkan saman trafik bagi kedua-dua kesalahan berkenaan.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, satu video menerusi Aplikasi Tik Tok berdurasi 21 saat menunjukkan rakaman dipercayai daripada dua lelaki yang menaiki kenderaan memaklumkan anggota polis terbabit menunggang motosikal tanpa cermin sisi serta menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang tular di media sosial, semalam.