KHAMIS. 18 NOVEMBER – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif One-Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail, berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kerana bimbang dan tidak mahu lagi terbabit dengan keputusan masa hadapan yang akan dibuat oleh syarikat itu.
Ismee yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pendakwaan ke-13, berkata beliau menyerahkan surat itu pada Jun 2015 tetapi tidak diterima syarikat.
Beliau yang membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka surat, berkata surat itu diserahkan kepada Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak ketika itu, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.
Sebelum ini, Datuk Amhari meminta beliau untuk menangguhkan keputusan itu kerana satu pilihan sedang dipertimbangkan untuk menukar keseluruhan Lembaga Pengarah.
Namun pada 2016, semua Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB meletak jawatan kerana Lembaga Pengarah dan pengurusan baharu dilantik.
Ismee berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap Najib, yang berdepan 4 tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.