KHAMIS, 18 NOVEMBER – Jumlah penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital seluruh Selangor yang merawat kes Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 meningkat dua peratus sejak 2 minggu lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, ia berikutan peningkatan kes baharu harian Covid-19 di Selangor daripada 1,300 hingga 1,500 kes dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, jumlah terkini katil di ICU dan ‘repurposed’ ICU di Selangor termasuk kes Covid-19 dan bukan Covid-19 adalah sebanyak 203 katil dengan kadar penggunaannya sebanyak 80 %.
Jumlah katil bukan kritikal di hospital bagi pesakit Covid-19 adalah sebanyak 1,286 katil dengan kadar penggunaan sebanyak 92 % setakat hari ini
Bagi wad ICU di hospital hibrid iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan hospital bukan Covid-19 iaitu Hospital Shah Alam dan semua hospital daerah di Selangor, jumlah pesakit ICU terkini kes Covid-19 ialah sejumlah 86 kes iaitu 42 % daripada kapasiti ICU di Selangor dan selebihnya merupakan kes bukan Covid-19.
Dalam pada itu, mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 di ICU Hospital Sungai Buloh, Dr Sha’ari berkata, ia berlaku disebabkan status Hospital Sungai Buloh sebagai Hospital Full Covid-19 dan menjadi hospital rujukan Covid-19 bagi semua hospital bukan sahaja di Lembah Klang.