KHAMIS, 18 NOVEMBER – Jenazah juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, selamat dikebumikan di Muadzam Shah, Pahang petang tadi.
Sebaik selesai proses bedah siasat sekitar jam 2 petang tadi di Hospital Seberang Jaya (HSJ), jenazah Allahyarham dibawa ke Pangkalan Udara Butterworth untuk disolatkan sebelum diterbangkan ke Pahang bagi urusan pengebumian.
Sebelum itu, proses pengecaman jenazah dilakukan oleh isteri Mohamad Affendi, Nurul Izati Shari serta adik Allahyarham yang hanya dikenali sebagai Nur di HSJ.
Menurut Nur, abangnya yang bertugas di Labuan ketika kejadian sedang menjalani latihan penerbangan di Pangkalan Udara Butterworth.
Nur berkata arwah abangnya berusia 31 tahun anak sulung daripada 3 beradik disifatkan seorang yang sangat bertanggungjawab dan baik kepada keluarga.
Nur berkata, kakak iparnya masih terkejut dengan kejadian yang berlaku.
Sementara itu Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) memberi jaminan akan memberi bantuan sewajarnya kepada kedua-dua keluarga juruterbang pesawat TUDM Hawk 108 yang terkorban malam semalam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan pesawat pejuang Hawk 108 akan terus digunakan untuk latihan dan operasi.
Buat masa ini, keputusan penggantungan pesawat itu hanya akan dibuat selepas siasatan dijalankan Lembaga Siasatan Khas secepat mungkin.