KHAMIS, 18 NOVEMBER – Pihak yang mencadangkan supaya hak istimewa orang Melayu di dalam Perkara 153 dikaji semula disifatkan sebagai individu buta sejarah.
Individu berkenaan juga dilihat sebagai cetek pemikiran kerana sanggup menggadaikan suatu perkara yang menjaga kepentingan bangsanya sendiri.
Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim menegaskan, tiada sebarang cacat cela wujud dalam peruntukan yang sudah sejak sekian lama diterima oleh masyarakat di negara.
Katanya, hanya mereka yang tidak sayangkan negara dan bangsa sendiri sahaja sanggup mengeluarkan cadangan sedemikian rupa.
Haji Zamani Ibrahim, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) berkata :
“Saya tidak faham kenapa individu berkenaan tiada harga diri sehingga sanggup mahu kaji semula, sedangkan inilah tiang seri kepada penyatuan ummah yang tidak boleh diganggu-gugat sesiapa”
Beliau ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan perkara tersebut didalangi pihak tertentu yang memiliki kepentingan dengan mempergunakan individu buta sejarah.
Terdahulu, Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim mencadangkan Perkara 153 melibatkan hak istimewa orang Melayu dikaji semula.
Beliau berkata, ini kerana pengagihan ekonomi negara tidak adil serta meminggirkan masyarakat India dan Cina, yang mana perlu diagihkan secara sama rata.
-ismaweb.net