KHAMIS, 18 NOVEMBER – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru seramai 476,037 individu biasa yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 orang telah mengundi secara pos.
Jelas Ikmalrudin pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan COVID-19.
Dimana pengundi disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui beberapa saluran, antaranya portal semakan daftar pemilih di laman web ,Aplikasi MySPR Semak; dan Hotline SPR.
Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.
Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.
Selain itu jelasnya, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.
SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini.