SELASA, 16 NOVEMBER – Kementerian Kesihatan (KKM) terus membuat persiapan dalam menghadapi peningkatan mendadak kes COVID-19 termasuk menjalankan simulasi untuk berdepan kemungkinan berkenaan.
Ini berikutan peningkatan kadar kebolehjangkitan yang kembali melepasi nilai 1, sejak beberapa hari lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam satu hantaran melalui Twitter semalam, menyebut beliau meminta KKM dan beberapa agensi untuk membuat penilaian terhadap kebarangkalian situasi terburuk akibat penularan jangkitan COVID-19 dan mengadakan simulasi tindak balas krisis.
Sementara itu, laman web COVIDNOW turut menunjukkan peningkatan kes dianggarkan sebanyak 5,800 kes atau 17 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu.
Turut menunjukkan peningkatan adalah kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital iaitu dianggarkan 1,259 kes atau sembilan peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, dengan penggunaan katil hospital pada kadar 69 peratus setakat tengah malam tadi.
Berdasarkan data sama, Putrajaya mencatatkan peningkatan kes tertinggi sejak 7 hari lalu iaitu peningkatan sehingga 82 peratus dan Perlis menunjukkan kadar peningkatan kes terendah iaitu peningkatan 3 peratus manakala Sabah dan Sarawak menunjukkan pengurangan kes dalam tempoh sama masing-masing 1 peratus dan 21 peratus.