SELASA, 16 NOVEMBER – Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini menerima sumbangan peralatan rantaian sejuk bernilai 6 juta ringgit daripada kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan vaksin Covid-19.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, acara ini adalah pakatan strategik dalam memerangi Covid-19 kearah usaha mencapai matlamat yang sama.
Sumbangan berupa 184 peti sejuk, 1,343 kotak sejuk dan 1,579 pencatat data itu akan diedarkan kepada 436 kemudahan kesihatan awam di seluruh negara secara berperingkat untuk memperkukuh pengurusan rantaian sejuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dijalankan.
Khairy berkata usaha ini direalisasikan berikutan hubungan baik dan kukuh yang lama terjalin antara Malaysia dan Jepun.
Pada Julai lalu, Malaysia menerima satu juta dos vaksin AstraZeneca yang disumbangkan oleh Jepun untuk mempergiatkan proses vaksinasi di bawah PICK.
Sementara itu, Duta Besar Jepun di Malaysia Oka Hiroshi yang turut hadir pada majlis itu memuji proses vaksinasi kerajaan Malaysia yang disifatkan lancar sekaligus menzahirkan penghargaan terhadap sikap kerajaan Malaysia yang memberi layanan sama rata kepada warga Jepun dalam melaksanakan program vaksinasi kebangsaan.