ISNIN, 15 NOVEMBER – Polis mengingatkan pihak berkepentingan seperti parti politik dan calon dalam PRN Melaka agar sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial ketika berkempen bagi menyuburkan proses demokrasi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi memantau platform media sosial secara 24 jam untuk mengenal pasti hantaran yang dimuat naik dalam medium berkenaan.
Datuk Abdul Majid Mohd Ali, selaku Ketua Polis Melaka berkata :
“Pasukan ini melibatkan tiga kumpulan secara bergilir memantau hantaran untuk kita pastikan mereka menggunakannya dengan cara sihat dan bukan untuk menghina, mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menghina mana-mana pihak. Ini adalah tanggungjawab kita untuk suburkan demokrasi dan bukannya menghasut antara satu sama lain,”
Beliau juga berkata, “apabila sesuatu kesalahan dikesan polis akan membuat laporan supaya siasatan adil dapat dijalankan seterusnya menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut”.
Dalam pada itu beliau menasihatkan parti dan calon supaya mematuhi SOP ditetapkan MKN dan KKM bagi memastikan proses pilihan raya secara norma baharu di negeri itu berjalan lancar.