SABTU, 13 NOVEMBER – Pemilik akaun Twitter Lord Pretry@Qhaishaaantsha yang mendakwa seorang anggota polis telah melakukan gangguan seksual terhadapnya diminta tampil membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, individu tersebut perlu tampil membuat laporan bagi membolehkan pihak polis merakam keterangan untuk membantu siasatan.
Menurutnya, kelmarin tular di laman Twitter oleh pemilik akaun Lord Pretry@Qhaishaaantsha yang mendakwa seorang anggota polis menaiki kereta peronda polis (MPV) telah melakukan gangguan seksual terhadapnya.
“Gambar kereta MPV jenis Honda Covic yang dimuat naik individu berkenaan disahkan adalah milik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
“Berikutan daripada itu, siasatan terperinci akan dijalankan untuk mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud salah laku seperti yang didakwa.
“Kita tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan pelanggaran undang-undang melibatkan warga PDRM khususnya polis dalam daerah ini,” ujarnya.
Jelasnya, masyarakat perlu tampil membuat pengaduan ke balai polis yang berhampiran sekiranya berlaku salah laku dan perlanggaran undang-undang yang melibatkan anggota polis daerah ini.