JUMAAT, 12 NOVEMBER – Kemunculan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Persidangan ke-26;
Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNFCCC COP-26 di Glasgow, Scotland dengan menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu, menarik perhatian netizen.
Malah, beliau turut menyelitkan petikan ayat al-Quran yang bermaksud ‘berlaku kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan tangan-tangan manusia’ sebagai pemula bicara.
Tinjauan TV Pertiwi di laman sosial mendapati rata-rata meluahkan rasa bangga apabila bahasa kebangsaan bergema di pentas antarabangsa.
Pengguna Twitter, Khairul Afham meluahkan rasa bangga dengan bahasa kebangsaan dan berharap langkah ini wajar dicontohi oleh semua pemimpin Malaysia yang lain.
Turut senada dengan pandangan itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim melahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berucap dalam bahasa Melayu pada persidangan antarabangsa di Scotland.
Rais berkata, beliau turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tegas dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan.
Tuan Ibrahim Tuan menyampaikan pendirian negara pada konvensyen UNFCCC COP-26 selama kira-kira tiga minit menggunakan bahasa Melayu.
Menerusi ucapan itu, Malaysia dijangka menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah (Glasgow Leaders’ Declaration on Forest and Land Use) dan Ikrar Metana Global (Global Methane Pledge);
“bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global”.