JUMAAT, 12 NOVEMBER – 15 daripada 22 calon bebas yang mempertaruhkan nasib pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini bersetuju berada di bawah satu gabungan dan mewujudkan Gagasan Bebas.
Kesemua calon itu juga bakal menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi memastikan tidak ada calon yang menyertai mana-mana parti politik selepas memenangi PRN itu nanti.
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam Datuk Norazlanshah Hazali menegaskan, semua 15 calon itu bersepakat dalam memastikan kestabilan politik negara dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
Mengulas lanjut ujarnya, gagasan itu juga mengalu-alukan calon Bebas lain yang mempunyai mesej yang sama untuk menabur khidmat kepada rakyat dan memastikan kestabilan politik, bersama menyertai mereka.
Pihaknya ingin menjamin kestabilan ini pada PRN ini dan bersedia untuk menggubal satu enakmen negeri bahawa mana-mana wakil rakyat yang cuba menubuhkan parti atau gagal menunjukkan iltizam dan mewujudkan enakmen anti lompat parti.
Seramai 22 calon Bebas mempertaruhkan nasib termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang mempertahankan kerusinya di DUN berkenaan.