KHAMIS, 11 NOVEMBER – Projek naik taraf laluan FT050 menghubungkan daerah Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang adalah penting dan mendesak bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut yang tinggi di sepanjang jajaran ini yang direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan 250 juta ringgit bagi menaiktaraf laluan berkenaan selepas diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Projek berkenaan sudah bermula 26 Oktober lalu dan dijangka siap 25 Oktober 2024. Selain memastikan laluan ini selamat dilalui, ia juga akan meningkatkan keselesaan pengguna.
Matlamat utama projek berkenaan adalah mengurangkan kes kemalangan serta memastikan aliran trafik lebih lancar dan terkawal.
Jelas Fadillah, daripada tahun 2015 hingga 2020, terdapat sejumlah 405 kemalangan dengan 227 kemalangan maut dicatatkan di laluan FT050.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Kontraktor dan Pecah Tanah bagi pelaksanaan Projek Membina Median, Pusingan U Dan Kerja-Kerja Berkaitan di Jalan Batu Pahat – Ayer Hitam – Kluang FT050 Daripada Parit Sempadan, Batu Pahat (Seksyen 21) hingga Jambatan Merentasi Lebuhraya PLUS (Seksyen 34.5) di Pekan Ayer Hitam, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur Johor, Solihan Badri.
Menurut Fadillah, laluan yang menghubungkan Pekan Parit Raja ke Plaza Tol Ayer Hitam berkenaan juga direkodkan sebagai laluan berkapasiti tinggi dan sering berlaku kesesakan teruk terutama pada musim cuti perayaan.