Oleh Azizi Sunip ([email protected])
‘Jujur dan ikhlas dalam bekerja, berkawan dan juga menjalani hidup,’ – Adalah kata-kata yang biasa didengar.
Namun bagi Zuraimi Isa, 46, itulah azimat yang dipegangnya selama 20 tahun sejak meninggalkan Malaysia dari 2001.
Menurut jurutera kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini, beliau pernah diketawakan rakan-rakannya ketika meluahkan hasrat untuk mengembara ke Nigeria.
Dan di situlah segalanya bermula menanam tekad melangkah ke empat buah negara dalam mencari erti kehidupan.
“Mula-mula keluar negeri masa tu umur saya baru dua puluh lima tahun untuk ke Nigeria, kawan-kawan ketawakan saya — Ko gila ke nak pergi Nigeria?
“… Dengan keadaan negara macam tu, berperang sana-sini,” demikian menurut Zuraimi dalam satu temu bual eksklusif bersama TV Pertiwi secara dalam talian baru-baru ini.
Namun, kata-kata rakannya itu diambil secara positif dan dijadikan pembakar semangat untuk meneruskan cita-citanya mengembara ke luar negara.
“I said – No I like adventure, I like to challenge myself. Saya pergi juga ke Nigeria…. Alhamdulillah dari saat itu sehingga sekarang saya masih di luar lagi,” jelasnya.
Menyelusuri pengalaman bekerja, beliau pernah berkhidmat di Nigeria (2001), Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada 2003, kemudiannya ke Oman (2009), dan seterusnya Arab Saudi (2011).
Syarikat pertama beliau adalah di Ishikawajima – Harima Heavy Industries, IHI bagi melaksanakan projek di Nigeria.
Kini ‘kembara’ kerjayanya membawa ke Arab Saudi untuk tahun kesebelas dengan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan, Unit Perniagaan Penternakan Udang (Bahagian Penyelenggaraan) di Mekkah.
Kisah penuh inspirasi ini pernah disiarkan di media tempatan pada tahun 2017.
Ketika itu Zuraimi bekerja di Jabatan Perkhidmatan Pengurusan Air untuk projek pembangunan tanah tandus Al Kafaa dan Al Rabah di Sudan.
Bagi membina dan menyelengara pump house, irrigation pump, canal construction dan pivots di lokasi berkenaan sehingga menjadikan padang pasir tandus bertukar kepada ladang gandum yang subur.
Projek itu amat bermakna buat dirinya kerana 80 peratus hasil keuntungan disumbangkan kepada negara-negara miskin di seluruh dunia.
“Cabaran utamanya ialah untuk membina struktur mega di negara yang serba kekurangan seperti Nigeria dan Sudan, dan di Arab Saudi pula boleh dikatakan kepakaran (teknologi pam air) itu sukar ditemui.
“Seperti membina terusan dan pumping station, jarang ada kepakaran itu di sini, hakikatnya di Malaysia memang sudah lama ada tetapi bukanlah secara besar-besaran dan meluas.
“Menariknya, apa yang dipraktikkan semuanya projek mega – secara besar-besaran di sini,” katanya.
TV Pertiwi sangat berbesar hati kerana berpeluang mendapatkan reaksi majikan beliau di Arab Saudi, Ariffin Mamat, sebagai Naib Presiden Transformasi Korporat, NAQUA.
Beliau yang juga warganegara Malaysia, kini menetap di Jeddah pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia sebelum ini.
Menurut Ariffin yang lebih mesra dipanggil Pak Pin, sikap rendah diri Zuraimi amat dikaguminya kerana jarang sekali seorang jurutera sanggup bergelumang dan mengotorkan tangan di tapak projek bersama para pekerja bawahan.
“Satu nilai yang jarang kita dapat dalam professional kita, sama ada dari Malaysia atau luar negara, mereka ni kadang-kadang sangat mengambil kira pangkat.
“… tidak boleh turun ke bawah, tidak boleh berselut, tidak boleh kotor-kotorkan badan tetapi bagi Haji Zuraimi, beliau sanggup turut sama dengan pekerja bawahan untuk menyelesaikan satu-satu tugas,” katanya.
Tambah Pak Pin, kita tidak perlu menjadi hebat dalam semua segi kerana kekuatan Zuraimi bukan dari segi kemahiran mekanikal secara keseluruhannya.
“Sebenarnya kehebatan dia adalah dari segi pengetahuannya terhadap pump and water management, cara pengendalian pam dan memasang pam serta menyelengaranya, ini yang memberi kehebatan dalam diri untuk memberi contribution at you good at,” katanya.
Sebelum mengakhiri temu bual, Zuraimi berpesan – ‘Ambil jalan yang kurang dilalui’ untuk mendapatkan hasil yang luar biasa.
“Always take road that less travelled… Untuk capai sesuatu, Jangan takut face your talent.
“Apabila orang kata tidak boleh, lagi kita buat sebenarnya, apatah lagi bila dilarang, mungkin sebab saya degil sejak dari kecil, bila sudah nekad kita kena buat sampai habis,” katanya.
TONTON VIDEO DI SINI