SELASA, 2 NOVEMBER – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan 10 peratus daripada 7,005 masjid di seluruh negara menubuhkan koperasi pada tahun depan.
Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, masjid berpotensi menghidupkan suasana keusahawanan sekali gus mengembalikan fungsi masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadah tetapi juga pusat pembangunan ekonomi setempat.
“Buat masa ini, hanya tujuh peratus masjid di seluruh negara yang mempunyai koperasi dan dilihat berjaya mewujudkan suasana perniagaan sehingga berupaya meningkatkan ekonomi dalam kawasan kariah mereka.
“Konsep koperasi ini juga menggambarkan suasana gotong-royong yang bekerjasama seperti satu keluarga sekali gus merapatkan hubungan silaturahim sesama kariah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi AsnafPreneur (TAP), di sini, hari ini.
Noh berkata TAP merupakan inisiatif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dalam memberi sokongan kepada golongan asnaf menjadi usahawan berjaya melalui bantuan dana kewangan, latihan keusahawanan dan peralatan perniagaan.
“Program ini dapat memberi implikasi luar biasa kepada golongan asnaf untuk menjana pendapatan seterusnya menaik taraf ekonomi ke arah menjadi usahawan yang berdaya saing,” katanya. – Bernama