SELASA, 30 NOVEMBER – Langkah intervensi berdasarkan kaedah kesihatan awam perlu ditingkatkan bagi membendung risiko penularan jangkitan varian baharu, Omicron.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pendekatan itu meliputi pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan menggunakan cecair pembasmi kuman.
Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan berkata :
“Aspek aliran udara dalam bangunan wajar ditambah baik memandangkan kajian sebelum ini mendapati partikel virus berupaya kekal di persekitaran untuk tempoh lebih lama jika menggunakan pendingin hawa,”
Menerusi ciapan di laman Twitter, Khairy berkata, Omicron berkemungkinan lebih mudah merebak berbanding Delta, bagaimanapun tahap virulens atau kemampuan mengundang penyakit varian baharu ini belum diketahui.
Ujarnya, pastikan warga emas berada dalam keadaan selamat dan ambil suntikan penggalak jika ditawarkan kepada anda.
Varian Omicron mula dikesan merebak di Afrika Selatan pada 9 November lalu, sebelum dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO, kira-kira dua minggu kemudian iaitu 24 November.
Menerusi penelitian awal, varian berkenaan mengundang kebimbangan orang ramai kerana ia mempunyai 32 mutasi protein pepaku, peningkatan dua kali ganda berbanding Delta.
Laporan setakat ini menunjukkan jangkitan varian Omicron hanya menyebabkan gejala sederhana kepada penduduk di Afrika Selatan, meskipun negara terbabit mempunyai kadar liputan imunisasi yang rendah.