Oleh: Wartawan Pertiwi
BANGI, Selasa – Pekerja Muslim yang mengalami isu diskriminasi untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat bermula 1 Jun depan dikehendaki membuat aduan mengenai perkara tersebut kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, majikan yang tidak memberi waktu rehat yang mencukupi pada setiap hari Jumaat boleh dikenakan tindakan.
“Sesiapa yang tidak membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat atau waktu solat pada waktu kerja mereka disusahkan, maka pekerja boleh mengadu perkara itu kepada JTK di bawah Akta Pekerja kerana diskriminasi dan majikan terlibat akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib mengenai kesediaan kerajaan negeri memudahkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 1 Jan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri hari ini.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor Sultan Mahkota Ismail bertitah untuk menyelaraskan semula cuti hujung minggu di negerinya kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025, ia turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Bagi memudahkan perjalanan solat jumaat di Johor susulan pertukaran cuti tersebut, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan dapat memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja muslim.
Sumber: Malaysiakini
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI