Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Khamis – Mesir menggesa masyarakat dunia untuk segera menghentikan Israel daripada terus menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Gesaan itu disuarakan oleh Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty bersama rakan sejawatnya Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares dalam sidang akhbar di Kaherah.
Abdelatty menegaskan, tindakan kejam Israel di Gaza adalah satu malapetaka bagi kemanusiaan dan perlunya tindakan pantas dalam untuk menghentikan perbuatan itu.
Katanya, terdapat perbincangan yang berterusan oleh Mesir bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melaksanakan rancangan untuk menyalurkan bantuan kemanusian ke Gaza.
Beliau turut menegaskan, pihaknya tidak pernah menghentikan atau melupakan penderitaan Gaza dan usaha Mesir dalam meredakan keadaan tegang di rantau tersebut masih lagi berterusan hingga kini.
Ujarnya, baru-baru ini Mesir baru sahaja menganjurkan pertemuan delegasi antara kumpulan pejuang Hamas dan Fattah untuk membincangkan situasi Palestin yang semakin berkembang pada masa kini.
Pada masa yang sama, Abdelatty berkata, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi akan mengadakan lawatan di Kaherah pada Khamis sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik Mesir untuk mengurangkan ketegangan serantau.
Sementara itu, Albares berkata, satu-satunya cara menghentikan ketegangan di rantau berkenaan hanya boleh dicapai dengan tertubuhnya negara sebenar Palestin dan penyelesaian dua negara.
Di samping itu, Albares turut menggesa gencatan segera dapat dilaksanakan di Gaza dan Lubnan. – Anadolu
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI