Oleh : Wartawan TV Pertiwi
BANGI, Khamis – Mahkamah Singapura pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan kepada bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran.
Media tempatan melaporkan ia kes pertama membabitkan seorang pemegang jawatan politik dalam tempoh lebih empat dekad.
Lapor The Straits Times, minggu lalu, Iswaran disabitkan kerana menghalang keadilan dan menerima hadiah secara tidak sah.
Tetapi pasukan pembela kepada bekas menteri yang terkenal kerana membantu membawa Formula Satu ke Singapura itu, berhujah untuk hukuman penjara maksimum lapan minggu.
Awal tahun ini, Iswaran dikenakan 35 pertuduhan yang kebanyakannya berkaitan rasuah di negara yang sering disebut sebagai antara paling kurang rasuah di dunia.
Iswaran meletak jawatan pada Januari lalu selepas dimaklumkan secara rasmi mengenai pertuduhan itu, termasuk menerima hadiah bernilai lebih AS$300,000 (kira-kira RM1.26 juta).
Dalam surat peletakan jawatan pada masa itu, Iswaran berkata, beliau akan membersihkan namanya di mahkamah.
Iswaran membayar balik kira-kira AS$295,000 (kira-kira RM1.239 juta) dalam bentuk keuntungan kewangan kepada kerajaan, dan hadiah termasuk sebuah basikal Brompton turut dirampas daripadanya, kata pejabat peguam negara.
Perbicaraan beliau dianggap oleh pemerhati sebagai salah satu yang paling penting dari segi politik dalam sejarah negara itu.
Kali terakhir ahli politik kanan Singapura yang disabitkan dengan rasuah adalah pada tahun 1975.
Wee Toon Boon, ketika itu menteri alam sekitar, didapati bersalah menerima rasuah bernilai lebih daripada AS$600,000 (kira-kira RM2.52 juta), menurut media tempatan.
#Mahkamah #Singapura #rasuah #penjara #SIswaran
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.