Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Khamis – Dewan Rakyat hari ini ‘meriah’’ apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama taraf dengan Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela.
Wakil rakyat DAP itu berkata, ia ekoran penerimaan dunia terhadap Perdana Menteri Malaysia yang baru pulang dari beberapa siri lawatan antarabangsa.
“Penerimaan PM di persada dunia sama tarafnya seperti pejuang-pejuang Mahatma Gandhi dan juga Nelson Mandela,” katanya ketika beliau ingin mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, kenyataan Rayer itu disambut sorakan dalam kalangan wakil rakyat pembangkang yang tidak setuju dengan pandangan beliau.
Kedengaran beberapa Ahli Parlimen pembangkang membidas kenyataan Rayer dan menyindir bahawa wakil rakyat dari kerajaan itu hanya membodek dan wajar diberikan jawatan menteri.
Pada masa sama, Rayer mengemukakan soalannya yang mahu Anwar menjelaskan maksud banduan terhormat yang mana ‘gelaran’ itu dipertikai dalam kalangan pembangkang.
Bagaimanapun, disebabkan kekecohan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang pada mulanya memberi ruang kepada Anwar untuk menjawab soalan terbabit, kemudian menarik semula kebenaran itu.
Ia memandangkan Perdana Menteri perlu bergegas menyambut ketibaan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam yang sudah tiba di Putrajaya.
Keputusan speaker bagaimanapun dibantah beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menuntut Anwar menjawab soalan terbabit.
Anwar bagaimanapun sempat memberi jawapan ringkas sebelum meninggalkan Dewan Rakyat.
“Saya tak peduli maki hamun, saya tak peduli.
“Saya sudah dimaki hamun berpuluh-puluh tahun dan di sebelah sana yang paling kuat pertahankan saya, saya ucap terima kasih,” jawab Anwar.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI