Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa pimpinan BERSATU bermuhasabah dalam usaha merampas tampuk kepimpinan negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu berkata pemimpin parti perlu menyuarakan alternatif susulan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Para Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU bukan sahaja mesti membawa suara akar umbi, tetapi mesti menjuarai agenda reformasi.
“Ia sudah dilupakan oleh Anwar dan menteri-menterinya. Tunjukkan bahawa Malaysia akan jadi lebih baik jika kita yang memimpin.
“Kita mesti vokal menyuarakan polisi alternatif ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat, kerana Pakatan Harapan-Barisan Nasional terlalu nyata kegagalannya,” katanya.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata demikian dalam satu coretan di Facebook miliknya semalam mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya dalam pemilihan parti.
Katanya, ahli dan pemimpin BERSATU digesa untuk tidak lagi bergantung kepada undi protes untuk menang dalam sesebuah pilihan raya.
“BERSATU mesti segera merangka strategi dan melaksana gerak kerja meyakinkan rakyat akan kebolehan dan kemampuan kita memimpin negeri dan negara.
“Saya ingatkan, era undi protes sudah tamat. Rakyat mahu melihat kompetensi dan kemampuan. Jika mengharap undi protes sahaja, kita akan kalah.
“Kita wajib bermuhasabah mengenal pasti kelemahan parti, baik dari segi pengurusan mahupun perjalanan pemilihan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI