Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) mengesahkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung gabungan itu manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Ketua Penerangan.
Dalam satu kenyataan malam tadi, Azmin berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengesahkan pelantikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita PN.
“BERSATU menamakan tiga pemimpin menganggotai MT PN selaras dengan keputusan pemilihan BERSATU baru-baru ini iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN, manakala Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai anggota Majlis Tertinggi PN,” katanya.
Selain itu, Azmin berkata, mesyuarat MT PN juga membincangkan dan mengambil maklum perkembangan politik semasa di Sabah dan mengambil ketetapan bahawa PN akan menyertai Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan selewat-lewatnya November 2025.
Katanya, PN Sabah diberikan tanggungjawab untuk membuat persiapan dan perbincangan dalam merangka strategi untuk membentuk kerajaan baharu di negeri itu.
“MT PB juga menerima penubuhan Jabatan Dasar dan Strategi yang berperanan dalam semua isu-isu strategik dan pelan tindakan strategik serta bertanggungjawab kepada kaji selidik berkaitan isu semasa negara,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI