Oleh Wartawan TV Pertiwi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa waris berhak mengetahui apa yang terjadi kepada tahanan di penjara Syria.
Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Thameen Al-Kheetan berkata pendedahan itu penting kerana terdapat tahanan yang masih hilang dan dirindui ahli keluarga, lapor Anadolu.
“Sejak tumbangnya pemerintahan bekas presiden Bashar Al-Assad hampir dua minggu lalu, kami melihat rakaman ratusan tahanan keluar dari penjara yang sekarang sudah dibuka.
“Terdapat tahanan menunjukkan kebahagiaan kerana dapat melihat sinar mentari tetapi yang lain masih terkejut selepas bertahun-tahun diseksa dan diperlakukan tidak berperikemanusiaan.
“Waris berhak mendapatkan semua jawapan tentang nasib dan keberadaan keluarga mereka serta mengetahui keadaan ketika mereka hilang,” katanya.
Thameen berkata demikian dalam satu sidang media di Geneva, Switzerland semalam menggesa waris tahanan diberikan lebih maklumat lanjut.
Katanya, masih terdapat waris berasa tertekan apabila ahli keluarga mereka yang ditahan di penjara masih belum ditemui.
“Peralihan keadilan dan kepercayaan masyarakat berlandaskan hak asasi manusia sangat penting untuk masa depan Syria,” katanya.
Beliau memaklumkan Turki akan menempatkan petugas hak asasi manusia ke Syria minggu depan dalam menyokong usaha PBB memastikan peralihan kuasa berpandukan undang-undang antarabangsa.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI