BANGI, Selasa – Peratusan keluar mengundi sebanyak 53.84 peratus dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota perlu diberi perhatian dan tindakan lanjut kerana hampir separuh pengundi di kawasan itu tidak memilih calon wakil rakyat mereka.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, antara faktor pengurang bilangan undi disebabkan pengundi tidak berminat keluar mengundi akibat bosan dan tidak berminat dengan politik.
Katanya faktor parti mahupun calon yang dipertandingkan turut diambil kira dalam PRK Mahkota selain ada dalam kalangan pengundi sudah yakin parti yang menang dan kalah.
Menurut Wan Ahmad, sesuatu pilihan raya tetap sah di sisi Perlembagaan meskipun peratus mengundi berkurang tetapi ia sekadar pameran proses demokrasi sahaja.
Katanya, ini kerana tiada dalam undang-undang yang menetapkan peratusan keluar mengundi minimum sebagai syarat sah suatu pilihan raya di bawah sistem demokrasi memilih wakil rakyat melalui pilihan raya yang diamalkan di negara ini.
“Objektif pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat tetapi pilihan oleh peratusan rakyat yang keluar kecil, maka wakil yang dipilih tidak mencerminkan pilihan majoriti oleh rakyat dalam kawasan kerana hampir 50 peratus pengundi tidak terlibat.
“Menjalankan pilihan raya SPR perlu membelanjakan wang yang banyak lebih RM1 bilion.
“Jika proses pilihan raya, rakyat tidak turut terlibat untuk gunakan hak dan kuasa selaku pengundi dengan mencatatkan peratusan rakyat keluar mengundi rendah, ianya sangat membazirkan wang rakyat,” katanya kepada TV Pertiwi.
Sehubungan itu tegas Wan Ahmad, kerajaan melalui agensi-agensi tertentu antaranya SPR dan NGO yang terlibat perlu menjalankan usaha pendidikan pilihan raya untuk meningkatkan kesedaran rakyat supaya terlibat dalam proses demokrasi agar hak dan kuasa mengundi yang diberi Perlembagaan tidak disia-siakan.
PRK Mahkota pada Sabtu lalu mencatatkan 53.84 peratus, lebih rendah berbanding sasaran lebih 60 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).