Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, Jumaat – Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak pernah membayar cukai berkaitan perniagaan mereka.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain dan berkata maklumat berkenaan diperoleh berdasarkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“GISBH tidak pernah membayar cukai yang berkaitan dan maklumat itu adalah selari dengan siasatan PDRM yang dijalankan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya kepada Berita Harian pada Khamis.
Namun, Razaruddin tidak pula memberitahu sejak bila dan jumlah kutipan cukai yang gagal dijelaskan oleh GISBH.
Terdahulu, tempoh tahanan reman 24 individu termasuk Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri disambung empat hari lagi.
Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman semua suspek berusia antara 25 hingga 65 tahun sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut berhubung tindakan eksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak.
Sumber: Berita Harian
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#GISBH #IKHWAN #PDRM #CUKAI #Ajaransesat