Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, Isnin – Setakat ini, tiada pelajar dan petugas Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dikesan terlibat dengan Global Ikhwan Services and Business (GISBH) Holdings Sdn Bhd.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut memberitahu kerajaan sedang memantau rapat perkembangan berhubung GISBH di seluruh IPT di negara ini.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud, tindakan yang segera turut akan diambil sekiranya terdapat sebarang kegiatan GISBH yang melibatkan penuntut mahu pun kakitangan di mana-mana IPT.
“Berdasarkan maklumat diterima belum ada kes tetapi kita sedang pantau. Selalunya setiap minggu ketika mesyuarat Kabinet, perkara ini akan dibentangkan namun setakat minggu lepas (penglibatan pelajar dan petugas IPT dalam aktiviti GISB) belum ada, katanya kepada BERNAMA selepas merasmikan Simposium Elsevier-MTUN Ketiga Sempena Hari Akademia 2024 yang dianjurkan Universiti Malaysia Pahang Al- Sultan Abdullah (UMPSA), Kuantan, Pahang, hari ini.
Mustapha berkata pihak kementerian turut menunggu keputusan Majlis Raja-Raja berkaitan isu GISB sebelum mengambil langkah seterusnya dalam usaha mengelakkan pembabitan penuntut atau warga kerja dengan GISB.
Sumber: BERNAMA
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#GISBH #KPT #IPT #Ajaransesat #PDRM #Ikhwan #Universiti