BANGI, Rabu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan tiga tindakan ke atas individu atau pihak menjual minyak masak secara atas talian bermula awal tahun hingga 19 September lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, pihaknya memantau aktiviti penjualan dalam talian melalui kerjasama penyedia tapak pasar dalam talian.
Azman berkata, lebih 121 iklan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak dinyahturun tahun ini setakat 19 September lalu.
Selain itu, KPDNHEP telah menjalankan 55 pemeriksaan seluruh negara dan menerima sembilan aduan membabitkan pelbagai kesalahan.
Tambahnya lagi, antara kesalahan adalah berurusniaga secara borong dan runcit tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat tidak dilesenkan.
Tegas beliau, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penyelewengan barang kawalan seumpama ini.
Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.
Manakala, syarikat juga boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1,564.90, katanya.
https://www.youtube.com/watch?v=ZczLh2AFs3s