BANGI, Ahad – Seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Fadli atau nama sebenar Mohd Fadli Salleh berhadapan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana sering menegur berkaitan isu persekolahan.
Antara tegurannya ialah isu beg berat, silibus tinggi dan padat, bilangan murid yang ramai dalam kelas, subjek yang banyak, masa belajar untuk subjek teras singkat dan adanya ‘Little Napoleon’ dalam sistem pendidikan.
Semalam, Cikgu Fadli memuat naik di Facebooknya surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Sokongan (No.1) Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof.
Surat berkenaan menyatakan ‘tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat’ yang melibatkan tiga pertuduhan terhadap Cikgu Fadli selepas guru berkenaan lantang menegur silibus sistem pendidikan di laman Facebooknya.
Susulan itu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin menyatakan hasrat untuk berjumpa sendiri dengan Cikgu Fadli berhubung tindakan tatatertib yang dihadapinya.
Mengulas lanjut, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Azizee Hassan menasihatkan agar penjawat awam menggunakan saluran yang betul bagi menyuarakan pandangan khususnya guru bagi mengelakkan salah faham di antara institusi dan majikan.
“Saya melihat dalam isu ini, mana-mana penjawat awam terikat dengan etika penjawat awam, dan beliau perlu menjaga intergriti dan kredibiliti sebagai penjawat awam. Sekiranya mana-mana guru atau institusi tidak berpuas hati ataupun ingin menyampaikan pelbagai cadangan dan kritkan eloklah gunakan saluran yang betul bagi mengelakkan salah faham kepada institusi ataupun kepada majikan yang dia bekerja dibawahnya.”
“Guru tersebut sekiranya beliau merasakan beliau di pihak yang benar bawalah ke pihak mahkanah sama ada beliau itu benar ataupun tidak dan tindakan beliau itu sebenarnya akan memikul risikonya sendiri kerana menyaman pihak pengurusan iaitu pihak KPM.”- Ustaz Azizee Hassan / Presiden i-Guru
Menurut Ustaz Azizee lagi, tindakan KPM yang meminta Cikgu Fadhli untuk tunjuk sebab dan memberi amaran untuk memberhentikan beliau adalah bukan semberono setelah melalui tapisan dan kerja yang ketat melalui kes disiplin oleh mana-mana guru.
“Berkenaan dengan apa yang dibangkitkan oleh cikgu Fadhli berkenaan surat yang ditularkan tentang pihak KPM untuk tunjuk sebab dan juga memberi amaran untuk memberhentikan sebagai seorang guru, proses dikenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana guru adalah proses yang rumit dan memerlukan fakta dan data yang jelas dan bila KPM membuat satu tindakan ia bukan semberono setelah melalui tapisan dan kerja yang ketat melalui kes disiplin oleh mana-mana guru.”- Ustaz Azizee Hassan / Presiden i-Guru
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan agar semua guru mematuhi etika penjawat awam dengan menggunakan cara dan platform yang betul untuk menyampaikan pandangan
Penggunaan media sosial perlu dielakkan bagi membina justifikasi negatif kerana perkara tersebut boleh mendedahkan kepada tindakan tatatertib.
Beliau juga mendakwa berkenaan isu berbangkit seperti subjek Matematik dan jadual pembelajaran yang padat telah dilakukan sebaiknya mengikut percaturan KPM.
https://www.youtube.com/watch?v=TGAB0wHG58k