PETALING JAYA, Sabtu – Pakatan Harapan (PH) menetapkan pendirian mereka untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di ketiga-tiga negeri di bawah pentadbiran gabungan tersebut.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya membuat keputusan itu bagi memastikan persiapan dibuat bagi menangani banjir di ketiga-tiga negeri terbabit.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR hari ini yang turut hadir Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan diadakan bersama DAP dan Amanah serta wakil rakyat di beberapa negeri terbabit.
Tegasnya, PH menolak kerakusan pemimpin politik yang mahu kuasa tanpa memikirkan keselamatan rakyat pada musim tengkujuh ini.
Justeru, beliau menyeru jentera kerajaan yang sah untuk memberi tumpuan kepada persiapan menangani banjir dan bukannya pilihan raya.