SHAH ALAM, Isnin – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memandang serius terhadap gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik Melayu.
Baginda berkata, perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang ketara sekarang boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat serta kestabilan politik di Negara ini.
“Beta tidak berhasrat mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara, walau bagaimanapun beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan, di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan. Ianya adalah bagi menjamin agar kepentingan masyarakat hak Melayu dapat dipelihara tanpa mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini,”
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH / Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin menerusi satu kenyataan yang dikongsikan menerusi facebook Selangor Royal Office bertitah, pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan Negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.
Titah baginda, kegagalan pemimpin Melayu menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab menyebabkan kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu sekaligus tidak memberi sokongan kepada pemimpin Melayu.
Pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demo keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum, titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menggalakkan rakyat terutama kaum Melayu menonton filem Mat Kilau agar ia boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran bahawa sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya tidak bersatu-padu mempertahankannya.
Filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak luar mudah menguasai kita.
Titah baginda, dialog yang digunakan di dalam filem ini, bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut bertitah, baginda sedar gejala fitnah-memfitnah berlaku dengan berleluasa di kalangan masyarakat dan penyebaran berita tidak ditentukan kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi bukan Melayu di negara ini.
Titah baginda, penyebaran berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu sudah menggugat keharmonian masyarakat.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/02/dasar-umno-bn-jelas-sokong-ismail-sabri-sebagai-pm-tok-mat/