KUALA LUMPUR, Selasa – Pihak pendakwaan dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram akan membuktikan kesemua kesalahan yang didakwa dilakukan Ahli Parlimen Muar itu adalah berniat jahat dan tidak jujur.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata pihaknya akan bergantung kepada kombinasi keterangan terus, ikut keadaan dan dokumentar dalam membuktikan kes terhadap tertuduh.
“Keterangan di bawah Seksyen 6, 7, 8 dan 9 Akta Keterangan 1950 langsung tidak memihak kepada tertuduh. Kami juga tidak akan menggunakan anggapan di bawah Seksyen 409A Kanun Keseksaan dalam membuktikan kes kami ke atas tertuduh kelak,”
DATUK WAN SHAHARUDDIN WAN LADIN / Timbalan Pendakwa Raya
Ketika membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid. Datuk Wan Shaharudin berkata, keterangan di bawah Seksyen 6, 7, 8 dan 9 Akta Keterangan 1950 langsung tidak memihak kepada tertuduh.
Syed Saddiq, 29 tahun, yang memakai kemeja batik biru tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9 pagi, diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktivti Haram 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Syed Saddiq berdepan hukuman maksimun penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram jika sabit kesalahan.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/21/kerajaan-laksana-program-dermasiswa-tvet-untuk-pelajar-b40/