Bangi, Isnin – Hasil usaha berterusan Ikatan Muslimin Malaysia pada Ramadan lalu dalam kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak berjaya membuahkan hasil apabila empat kedai serbaneka di Bangi dan Kajang sudah menghentikan penjualan arak.
Yang Dipertua ISMA Bangi, Ustaz Bilal Jailani berkata, tindakan menghentikan jualan arak ini menunjukkan mereka cakna kepada suara-suara NGO dan komuniti dan berharap banyak lagi kedai serbenaka melakukan tindakan sama.
Beliau berkata, empat premis terbabit adalah KK Supermart Hentian Kajang, Potboy Mart Hentian Kajang, MyNews Bangi Avenue dan Speedmart Bangi Vista.
“Kedai serbanek adalah kedai komuniti yang dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat Muslim, non muslim, kanak-kanak, Wanita dan orang tua yang mana arak tidak sesuai untuk berada di kedai komuniti sebegini, yang ke-2 kita nak melindungi pekerja di kedai serbaneka yang rata-ratanya Muslim yang terpaksa mengendalikan arak, Menyusun arak di rak jualan dan membersihkan arak jika tertumpah, paling teruk kena kejar orang yang curi arak itu amat memalukan dan itu tidak sepatutnya berada dalam job description ataupun tugasan mereka.”
“Sebab itu kita membantu kakitangan Muslim yang membantu di kedai serbaneka, mudah-mudahan dengan pemberhentian menjual arak di kedai serbaneka ini memberikan sinar baharu untuk mereka dan mereka boleh kecapi gaya hidup halal.”
Pada masa sama, Ustaz Bilal memaklumkan ISMA Bangi turut mengunjungi beberapa buah kedai serbaneka lain untuk menyerahkan surat bantahan penjualan minuman keras di premis itu.
Sementara itu, pekerja kedai serbaneka menganggap usaha dilakukan ISMA Bangi disambut baik dan turut rasa bersyukur tidak terbabit dengan penjualan arak.
Penyerahan surat bantahan penjualan arak di kedai serbaneka adalah antara sebahagian usaha ISMA melalui kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ yang dilancarkan pada 5 Februari lalu. Kempen bersama Yayasan Maghfirah itu, bukan hanya disasarkan kepada golongan Muslim, tetapi juga untuk setiap lapisan masyarakat di negara ini.
Ia itu turut mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/13/pindaan-memansuhkan-hukuman-mati-mandatori-akan-dibentangkan-pada-oktober-wan-junaidi/