Kuala Lumpur – Kerajaan disaran masuk campur dalam pembelaan nasib kontraktor dan usahawan Bumiputera yang kini semakin terhimpit dengan penindasan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Presiden Persatuan Kontraktor Telekomunikasi Malaysia (PKTM), Datuk Zakaria Husain mendakwa, kontraktor dan usahawan Bumiputera telah ditindas oleh Telekom Malaysia Bhd (TM), dimana tindakan pihak TM seolah-olah tidak mengendahkan ketidakpuasan hati pihak kontraktor.
Beliau juga menyatakan, sebagai rakan perniagaan TM, ahli persatuan sejak sekian lama telah memberikan kerjasama baik dalam melaksanakan kerja yang diagihkan.
Namun, sejak 6 tahun kebelakangan ini, pihak kontraktor mula merasakan terdapatnya penindasan daripada segi perniagaan, terutama sekali tawaran harga yang tidak mengikut perkiraan munasabah sesuai dengan keperluan perlaksanaan dan pengurusan projek-projek yang diagihkan.
“Pihak kontraktor merasakan mereka seolah-olah ditindas ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan berbaur ugutan oleh pihak TM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“TM dilihat seolah-olah menganiaya kontraktor dengan memindahkan semua masalah pelaksanaan projek kepada kontraktor tetapi mengekalkan harga yang tidak munasabah seperti disebutkan,” katanya.
Zakaria mendakwa, tindakan berkenaan dilihat sebagai keterlaluan dan cubaan untuk mufliskan usahawan yang terlibat. Tambahan pula hari ini merupakan sidang media yang pertama oleh PKTM sejak 30 tahun.
Oleh itu, PKTM dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendesak kerajaan membantu kontraktor dan usahawan Bumiputera di TM yang semakin terhimpit.
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/10/kekalkan-tmj-kim-pan-gon/