Petaling Jaya: Seorang lelaki warga asing maut selepas lori dipandunya dihempap papan tanda yang patah dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan susur keluar ke Icon City, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu 11.33 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas lori berkenaan dipercayai melanggar papan tanda yang mempunyai had ketinggian tidak melebihi 2.1 meter.
“Akibat pelanggaran itu, papan tanda berkenaan patah lalu menghempap bahagian hadapan lori terbabit dan mengakibatkan pemandu lori berkenaan berusia 59 tahun disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya.