31 Mac 2022, PETALING JAYA – Muhammad Yasin Sulaiman, bekas penyanyi nasyid dan komposer, berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini (Khamis) atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di sebuah unit kondominium di Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat ke atasnya mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati. Sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Yasin juga mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen.
Dia didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.
Bagi kedua-dua prosiding itu, Yasin tidak dibenarkan jaminan.
Tertuduh sebelum ini ditahan polis bersama 17 pasu pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, Khamis lalu.
Polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.
Hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri selain telah terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.
Polis juga tidak menolak kemungkinan bekas penyanyi nasyid dan komposer itu mendapatkan bekalan benih secara dalam talian.